Tuesday, February 25, 2014

DAP: Rakyat dapat BR1M RM1,200 jika MAS raih untung

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata rakyat di negara ini berpeluang memperoleh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) jika Malaysia Airlines (MAS) tidak mengalami kerugian.
Setiausaha agung DAP itu berkata, kerugian tiga tahun berturut-turut oleh MAS berjumlah RM4.1 bilion hampir mencukupi untuk menaikkan BR1M daripada RM650 kepada RM1,200.
"Sekiranya (MAS) tidak mengalami kerugian besar sebanyak RM4.1 bilion dalam tempoh 3 tahun lalu, maka penerima BR1M dapat menikmati RM1,200 seperti yang dijanjikan di bawah Manifesto PRU13 BN, dan bukannya dikurangkan kepada RM650.
"MAS mengalami kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lalu, RM433 juta pada 2012 dan RM2.5 bilion pada 2011. Kerugian tiga tahun ini yang berjumlah RM4.1 bilion hampir mencukupi untuk menampung perbezaan RM650 (yang berjumlah RM4.5 billion) yang diperlukan untuk menaikkan BR1M," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga kesal apabila sehingga kini MAS masih belum mengemukakan pelan pemulihan yang boleh dilaksanakan untuk mengekang kerugian kewangan berterusan.
Katanya, Khazanah Nasional selaku pemilik MAS digesa mencari penyelesaian tuntas dengan menerima hakikat syarikat penerbangan tempatan itu sudah tidak berdaya maju dengan struktur kos semasa.
"MAS mungkin berfikir bahawa kerugian ini mampan kerana masih mempunyai baki tunai sebanyak RM3.9 bilion pada akhir tahun lalu.
"Dengan pemikiran tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab dan berbahaya untuk meneruskan perniagaan seperti biasa," katanya.
Beliau juga menyelar Kementerian Pengangkutan apabila tidak berusaha menjalankan projek infrastrukrur secara efektif sepertimana yang dibuktikan dengan peningkatan limpahan kos dan kelewatan dalam projek Klia2.
Katanya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu menerima tawaran berkerjasama dengan pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.
"Masanya sudah tiba untuk menteri pengangkutan mengenepikan ego demi kepentingan negara dengan bekerjasama dengan Fernandes.
"Jika Hishammuddin enggan menerima kepakaran Fernandes, yang dengan tajam mengingatkan bahawa Terminal Penerbangan Kos Rendah di Sepang hanya bernilai RM250 juta berbanding Klia2 yang kini mencecah RM4 bilion, maka negara kita yang akan rugi," katanya.
Bagaimanapun, beliau mempunyai pendapat berbeza dengan Singapore Business Times yang mencadangkan MAS diistiharkan muflis bagi membenarkan permulaan baru memulihkan semula syarikat penerangan itu.
Katanya, DAP tidak bersetuju dengan cadangan mengisytiharkan MAS muflis, kerana bukan sahaja memalukan tetapi memberi kesan buruk ke atas pekerja MAS.
Sehubungan itu, katanya, Khazanah mesti menyediakan satu pelan konkrit untuk menyelamatkan MAS, termasuk melaksanakan tender terbuka kompetitif yang menjadi amalan antarabangsa dan penilaian berasaskan prestasi untuk semua pekerja, termasuk pengurusan tertinggi.
Singapore Business Times sebelum ini mencadangkan MAS diistiharkan muflis bagi membantu MAS menyelesaikan masalah lebihan kakitangan dan kontrak perolehan berat sebelah dalam hak penyelenggaraan sehingga ke katering makanan.
"Walaupun dengan subsidi dan geran berpuluh bilion yang diberikan oleh pembayar cukai Malaysia, MAS menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak boleh bersaing dengan Air Asia, yang merupakan kejayaan luar biasa keusahawanan Malaysia .
"Biarpun tidak mendapat satu sen pun daripada pembayar cukai Malaysia. Tambahan pula, syarikat tambang murah baru Malindo Air hanya akan memburukkan lagi prestasi MAS," katanya. – 25 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment