Sunday, December 8, 2013

Tidak salah Cina undi pembangkang semasa PRU13 tetapi mereka menipu, kata Idris Haron

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (gambar) mengulangi kenyataan pemimpin-pemimpin Umno menyalahkan kaum Cina dengan mengatakan tidak salah mereka mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya 2013 (PRU13) akan tetapi beliau kecewa dengan pembohongan dilakukan kaum itu di Melaka kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN) seperti dijanjikan.
Beliau berkata perbuatan itu bukan sahaja memperlihatkan sikap khianat masyarakat Cina akan tetapi pada masa sama menjejaskan kepercayaan pihak tertentu.
“Kita kecewa sebab sebelum pilihan raya mereka berjanji menyokong calon BN tetapi terbukti mereka tipu kita selepas diberikan segalanya,” kata Idris merujuk kepada kaum Cina dalam akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
"Bila mereka tanya saya mengapa orang Cina kena minta maaf, itu sangat pelik. Seolah-olah mereka tidak bersalah menipu dan mengkhianati kepercayaan kita," katanya.
Idris yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Melaka berkata, beliau  tidak pernah sesekali menyalahkan pengundi Cina yang mengundi pakatan pembangkang dalam PRU13 lalu.
"Saya tidak pernah marah kepada mereka kerana mengundi siapa pun termasuk pembangkang,” katanya.
Ketua Menteri Melaka itu berkata pada Jumaat, beliau bersedia memaafkan masyarakat Cina dan mengajak mereka kembali kepada BN setelah dilihat seolah-olah terhukum akibat “insiden” keputusan PRU13.
Katanya, sokongan pengundi Cina Melaka kepada BN tidak sampai 15% pada PRU13 termasuk mengakibatkan bekas ketua menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam kalah merebut kerusi Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin
Mohd Ali setelah tewas dalam PRU13 lalu menyifatkan sentimen perkauman masyarakat Cina begitu tebal di kawasan itu yang menjadi antara punca utama kekalahannya kepada Shamsul Iskandar.
Beliau kesal dengan sikap masyarakat Cina di kawasan berkenaan yang langsung tidak mengenang budi yang telah dicurahkannya sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 13 tahun.
"Saya tidak percaya orang Cina di Parlimen Bukit Katil boleh menolak saya dan kerana undi merekalah saya tewas dalam pilihan raya kali ini.
"Apa jasa Shamsul Iskandar terhadap orang Cina, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah saya berikan selama ini.
"Mereka (orang Cina) apabila saya dah tolong dalam bidang perniagaan hingga mereka berjaya dan menjadi kaya, mereka ini lupa jasa yang telah saya buat,'' katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam reaksi awalnya selepas keputusan PRU13 diumumkan mengatakan BN bersyukur kerana berjaya memenangi pilihan raya itu akan tetapi terkejut dengan “Tsunami Cina” yang berlaku. – 8 Disember, 2013.

No comments:

Post a Comment