Monday, February 3, 2014

Perkasa yakin sultan akan lantik Anwar jika menang dan dapat sokongan majoriti

Kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yakin Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah tetap akan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya beliau menang dan mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali (gambar) berkata tiada siapa pun boleh menafikan kuasa Sultan sebagai pemerintah berperlembagaan negeri itu.
"Sultan punya kuasa. Tapi biasanya raja-raja dalam Malaysia ini tidak mahu secara langsung mencampuri politik," katanya kepada The Malaysian Insider.
Kenyataannya itu berdasarkan ura-ura yang menyatakan biarpun pentadbiran negeri Selangor menyokong sepenuhnya Anwar, hasrat itu mungkin dihalang oleh sultan yang mempunyai mutlak mengiktiraf menteri besar secara rasmi.
Peguam dan aktivis, Edmund Bon mendakwa akan berlakunya krisis perlembagaan di Selangor jika  Anwar mahu menjadi menteri besar,
Syed Hassan berkata, Perkasa juga tidak melihat undang-undang yang boleh mengagalkan hasrat PR untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.
Namun tegasnya, Perkasa mempersoalkan mengapa nama Anwar yang dicadangkan untuk bertanding dan bukannya pemimpin PR yang lain.
"Untuk gunakan alasan Anwar pernah dipenjarakan kerana salah guna kuasa dahulu, atau kerana beliau merupakan bekas banduan juga kes tuduhan liwat serta bukan anak Selangor, bukan alasan kuat untuk sultan menolak beliau.
"Apa pun Perkasa berasa sungguh menjelekkan bila tiada seorang Melayu pun dalam negeri itu layak menjadi menteri besar sehingga terpaksa "diimport" dari Pulau Pinang," katanya.
Perkasa turut mempersoalkan kredibiliti pemimpin itu untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat di Kajang.
Ini melihat daripada prestasi Anwar sebagai Ahli Parlimen di Permatang Pauh, Pulau Pinang apabila beliau juga tidak mampu untuk membela nasib Melayu di negeri tersebut.
"Apakah seorang pemimpin Melayu yang dikatakan hebat dari Pulau Pinang namun menyaksikan kaum sendiri terpaksa meninggalkan Pulau Mutiara akibat tiada pembelaan yang adil daripada kerajaan negeri dalam satu parti Pakatan.
"Kuasa di tangan rakyat Kajang menentukan kemenangan Anwar dan kuasa juga di tangan Sultan Selangor bagi menentukan Anwar boleh menjadi menteri besar atau tidak," katanya.
Semalam peguam veteran Tommy Thomas berkata, sebagai pemerintah berpelembagaan, Sultan Selangor “tiada tangan bebas” dalam memilih menteri besar, memetik Artikel 51 dan 53 perlembagaan negeri.
Artikel 51 (2) menyatakan bahawa calon “mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam” sementara Artikel 53 (4) memperuntukkan bahawa Sultan Selangor boleh menggunakan budi bicaranya dengan peruntukan dalam perlembagaan seperti Artikel 51 (2) yang menyekat pilihannya.
Thomas berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, parti politik (atau gabungan) yang mendapat kebanyakan kerusi dalam pilihan raya umum biasanya memilih pemimpin mereka sendiri.
“Jadi, dalam setiap kes di mana ada kekosongan dalam pejabat perdana menteri, sama ada disebabkan oleh peletakan jawatan atau kematian, pemangku pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) dilantik oleh perdana menteri.
“Sama juga, selepas setiap 13 pilihan raya umum lalu, sultan tidak mempunyai budi bicara dalam pelantikan itu. Sama juga seperti keadaan di semua negeri. Jika ada pengecualian di negeri tertentu, menteri besar dilantik tanpa mengambil kira adab tertib perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, di Selangor, Pakatan mempunyai 44 kerusi berbanding 12 kerusi BN, iaitu majoriti lebih tiga perempat.
“Maka, jika Pakatan mencalonkan Anwar untuk menjadi menteri besar selepas kemenangan di Kajang, sultan tidak ada budi bicara mengikut perlembagaan untuk menolaknya.
“Boleh anda bayangkan jika Yang di-Pertuan Agong tidak menerima angkat sumpah Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri pada Mei 2013 selepas beliau memperolehi 44 kerusi majoriti di Dewan Rakyat? Dalam kedua-dua senario itu, pemerintah berperlembagaan tidak ada budi bicara dalam pelantikan itu,” katanya.
Bagaimanapun, jika sultan menolak pelantikan Anwar sebagai menteri besar ketika pencalonan oleh kerajaan negeri Pakatant atau jika Khalid enggan meletak jawatan sebagai menteri besar, speaker boleh memanggil persidangan Dewan Undangan Negeri khas untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Khalid dan usul percaya kepada Anwar. – 2 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment