Friday, February 21, 2014

Bekas pengerusi DAP Kampung Jering mati ditembak

Bekas Pengerusi DAP Kampung Jering mati akibat di tembak di bahagian badan, tangan dan dada di depan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar di Seri Manjung malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Wong Kong Ting, 56 yang mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia di Hospital Manjung pada pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata dalam kejadian pukul 10.13 malam itu, isteri mangsa terdengar bunyi satu letupan di luar rumah yang disangkakan mercun sebelum melihat suaminya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Sebelum kejadian, mangsa baru pulang selepas keluar minum pada pukul 10 malam. Isterinya yang berada di dalam rumah bersama ibu, anak serta sepupunya terkejut mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.
Katanya hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui beberapa kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat lebih daripada seorang.
Beliau berkata satu pasukan khas polis ditubuhkan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim untuk menyiasat motif sebenar kejadian meliputi pelbagai sudut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Hisham Mohamad Sani di talian 019-5753207 atau menghubungi IPD Manjung di talian 05-6835222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Mangsa yang juga merupakan kontraktor tanaman semula kelapa sawit memegang jawatan Pengerusi DAP Kampung Jering selama empat tahun bermula 2006 dan kini merupakan anggota biasa dalam parti.
Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata semasa menemui bapanya terbaring di perkarangan rumahnya, mangsa memberitahu dia ditembak. 
"Ketika kejadian saya, emak serta seorang sepupu yang sedang menonton televisyen dengar bunyi motosikal bapa masuk pintu pagar dan tiba-tiba bunyi letupan kuat di luar.
Kami bergegas keluar dan terkejut apabila melihat bapa dalam keadaan berlumuran darah," katanya.
Katanya bapanya selalu keluar minum malam bersama rakannya di kedai berhampiran.
Beliau berkata jirannya memberitahu ternampak sebuah motosikal yang dipecut laju dari rumahnya selepas kejadian itu. - Bernama, 20 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment