Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita
Penolong Pengarang Berita
KUALA LUMPUR, 13 Mei — Lim Kit Siang (gambar) menjadikan pilihan raya bersih, bebas dan adil sebagai salah satu daripada lima perkara yang beliau mahukan bagi menjawab artikel Utusan Malaysia hari ini bertajuk “Apa lagi Kit Siang mahu?”.
Menurut Lim, sekiranya pilihan raya bersih, bebas dan adil, perdana menteri Malaysia hari ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Datuk Seri Najib Razak, kerana Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai masalah untuk menang 125 kerusi Parlimen dengan PKR 45, masing-masing PAS dan DAP 40 dengan majoriti selesa 128 daripada 222 kerusi Parlimen.
Selain daripada pilihan raya bersih, penasihat DAP itu juga mahukan Malaysia sebagai negara demokrasi normal; pemulihan kedaulatan undang-undang; pendidikan bertaraf dunia dan Malaysia yang bersatu, selamat, hijau, dan sihat.
Di bawah tajuk “Apa lagi Kit Siang mahu?”, pengarang kanan Utusan Malaysia Zulkiflee Bakar menuduh Lim dan DAP membahayakan keselamatan rakyat Malaysia dengan melanggar undang-undang berikutan penganjuran perhimpunan haram beberapa hari lalu.
“Apa lagi Kit Siang mahu? Tidak puas lagikah selama ini ketika kempen pilihan raya berlangsung Kit Siang yang kononnya memperjuangkan demokrasi tulen dan kebebasan bersuara membiarkan pemimpin-pemimpin DAP memaki hamun pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN)? Belum gembirakah lagi beliau apabila DAP berjaya menentang habis-habisan usaha perjuangan Islam oleh PAS termasuk hukum hudud?” soal Zulkiflee di kolumnya.
Ahli Parlimen Gelang Patah baru itu turut diserang oleh Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin semalam yang menuduhnya sebagai orang di belakang tragedi berdarah 13 Mei.
“Saya bersedia untuk mengadakan satu debat yang rasional dengan Utusan Malaysia atau sesiapa berkenaan apa yang terbaik untuk masa depan negara, akan tetapi Utusan Malaysia tidak berminat dengan debat rasional sedemikian tetapi hanya menjalankan agenda Umno untuk memburuk-burukkan saya,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Utusan telah mengingkari semua etika dan standard kewartawanan. Apakah mereka boleh menjadi lebih teruk lagi?” tambah beliau.
Dalam Pilihan Raya 2013, Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya tetapi hilang undi popular.
Najib mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah pada awal pagi 6 Mei selepas menerima keputusan Pilihan Raya 2013.
Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka depan akhbar berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.
Akhbar, yang dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin parti lain secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.
Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya.
Semalam, Najib mempertahankan partinya daripada pertuduhan perkauman, sebaliknya menuduh DAP yang bersikap perkauman.
Di sebalik dakwaan Umno, analisis keputusan Pilihan Raya 2013 menunjukkan perpecahan bandar-luar bandar berbanding perpecahan Melayu-Cina dalam corak pengundian rakyat Malaysia minggu lalu.
Walaupun majoriti daripada Cina menyokong parti PR, terdapat angka signifikan undi Melayu terhadap parti pembangkang, terutamanya di kawasan bandar.
No comments:
Post a Comment