Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendedahkan penglibatan
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama anaknya, Datuk
Seri Mahmud Abu Bekir Taib, dalam satu perjanjian perniagaan bernilai
RM6.6 juta (AS$2 juta) dengan sebuah syarikat berpengkalan di Jerman.
Pembongkaran perjanjian tersebut didedahkan hari ini oleh dua NGO,
Global Witness dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) dua
hari sebelum Taib dijangka mengambil alih jawatan Yang di-Pertua
Negeri (TYT) Sarawak daripada Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang
Barieng yang akan bersara 28 Februari ini.
Taib dan anaknya, Abu Bekir, terlibat dalam perjanjian lumayan dengan
syarikat pengurusan sisa Trienekens dengan kerajaan Sarawak pada 1998.
Syarikat berpengkalan di Jerman itu juga sebelum ini pernah terlibat
dalam kes rasuah pada 1999.
"Trienekens menjalankan kerjasama dengan syarikat tempatan, Sarawak
Capital, yang dimiliki anak Taib Mahmud untuk memberikan 'khidmat
nasihat' bernilai RM6.6 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian,"
kata NGO tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Global Witness, penglibatan anak Taib tersebut mempunyai konflik kepentingan.
"Secara faktanya, nilai besar yang dibayar kepada syarikat anak Taib
sebagai sebahagian daripada perjanjian kelihatan mempunyai konflik
berkepentingan," kata Cynthia Gabriel pada sidang media petang ini.
NGO
tersebut mendakwa anak Taib juga turut bersama menandatangani
perjanjian persefahaman yang dimerterai antara Sarawak Wastes Management
Sdn Bhd sebagai wakil kerajaan Sarawak dengan syarikat Jerman tersebut.
"Ia masih tidak jelas mengapa anak Ketua Menteri Sarawak perlu menjadi
saksi dalam perjanjian bernilai besar tersebut antara kerajaan negeri
dan firma antarabangsa," katanya lagi.
Global Witness mendakwa pakar perundangannya mendapati perjanjian
dengan syarikat milik anak Taib, Sarawak Capital, hanyalah sebuah
"perjanjian".
Syarikat milik anak Taib tersebut didakwa tidak terikat dalam kewajipan kontrak dalam "skop kerjanya".
"Pada pandangan kami, perjanjian ini menunjukkan wujudnya sogokan
tersembunyi; tidak kelihatan Sarawak Capital membuat sesuatu ke atas
wang mereka peroleh dan tidak munasabah mempunyai nilai komersil," kata
Gabriel.
Trienekens dan Sarawak Capital bagaimanapun masih belum memberi jawapan
kepada Global Witness walaupun sudah dihubungi NGO tersebut.
Namun, firma guaman di London, Mishcon de Reya yang mewakili Taib
menafikan anak guamnya terlibat dalam "perjanjian palsu" selepas maklum
balas dihantar oleh Global Witness.
"Perjanjian yang anda rujuk bukan 'perjanjian', juga bukan sogokan sama
ada tersembunyi atau sebaliknya," kata firma guaman tersebut.
Bagaimanapun, Global Witness melahirkan kesangsian ke atas perjanjian
tersebut memandangkan CEO Trienekens Hellmut Trienekens pernah didapati
bersalah terlibat dalam rasuah bernilai jutaan euro kepada pegawai
tempatan menerusi Switzerland untuk membina sebuah insinerator sisa di
Cologne, Jerman.
Susulan perkembangan terbaru di mana Taib kemungkinan dilantik sebagai
TYT Sarawak, Gabriel yang merupakan pengerusi C4, mendesak Putrajaya
menyiasat pendedahan terbaru ini.
"Kes ini melibatkan kepentingan awam yang perlu disiasat oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Gabriel yang
mendesak SPRM supaya campur tangan dan menyiasat Taib.
"Kami desak pentadbiran Najib menangguhkan pelantikan Taib Mahmud sebagai TYT sehingga perkara ini selesai diteliti."
Tekanan kepada Taib supaya tidak dilantik sebagai TYT semakin ketara,
minggu lalu sekumpulan 50 NGO melancarkan petisyen dalam usaha
menghalang pelantikan ketua menteri Sarawak yang didakwa mereka seorang
perasuah dan menyalahgunakan kuasa sepanjang 33 tahun pemerintahannya.
Satu kajian oleh Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan harta Taib
mencecah AS$15 bilion (RM46 billion) dan 20 ahli keluarganya mengumpul
harta hampir AS$21 bilion (RM64 bilion).
Pada 16 Februari lalu, BMF yang berpengkalan di Switzerland juga
membuat laporan polis ke atas keluarga Taib atas dakwaan penyeludupan
balak haram di Kanada, malah PAS juga menggesa SPRM membuka kertas
siasatan ke atas ketua menteri tersebut.
BMF berkata, satu laporan polis dibuat kepada Royal Canadian Mounted
Police, berdasarkan "bukti baru" yang mendapati wujud kaitan kewangan
antara Richfold Investments di Hong Kong dengan Sakto Development
Corporation di Ottawa, Kanada.
Sakto Development Corporation adalah sebuah syarikat pemaju jutaan
ringgit yang dimiliki oleh anak perempuan Taib, Jamilah Taib Murray. –
27 Februari, 2014.
No comments:
Post a Comment